Sabtu, 18 April 2020

Kum-Kum

    
Aku tak ingat sangat la cerita tentang hantu stokin yang famous sesangat pada pertengahan  Kum-Kum 
(Matanya.... uhhhhhh... setiap kali aku tengok gambar nih, setiap kali tu aku jatuh cinta)
Kisah Hantu Kum-Kum dan Pokok Pemunggai
Aku tak ingat sangat la cerita tentang hantu stokin yang famous sesangat pada pertengahan 70-an dulu. Cerita-cerita tentang hantu stokin banyaknya aku baca kat Majalah Gila-Gila dan Gelihati saja. Masa tu MASTIKA tidak seperti sekarang... MASTIKA yang ada time tu, hanyalah majalah digest. Kalau tak, mungkin la kot aku ada banyak maklumat tentang hantu stokin.

Sekitar pertengahan 70-an, hantu yang paling menakutkan orang kampung selain daripada Orang Minyak adalah Hantu Kum-Kum. Pelbagai versi kedengaran tentang Hantu Kum-Kum ini. Ini versi arwah tok aku....

Seorang saudaranya di Serdang, didatangi seorang tetamu tidak diundang pada tengah malam. Tengah asyik menjahit untuk sambutan hari raya puasa, tiba-tiba terdengar orang memberi salam. Salamnya tidaklah begitu jelas, kecuali bahagian hujung salamnya, (kum-kum) yang kedengaran.

Memikirkan mungkin ada jiran yang kehabisan kopi atau gula, saudara tok ni, bukak pintu rumahnya. Masa tu, kebanyakan rumah, bertiang tinggi dan diperbuat daripada kayu dan papan. Tak macam sekarang... rumah batu dan berlantaikan simen di atas tanah.

Sebaik-baik sahaja pintu dibuka, semerbak haruman menusuk hidung. Berdiri di kesamaran cahaya lampu minyak tanah, adalah sesusuk tubuh berpakaian serba hitam membelakangkan pintu. Daripada bentuk tubuh, lembaga itu adalah 'sejenis' perempuan.

"Sapa ni? Nak cari sapa?" tanya sedara tok dengan lenggok ramah orang kampung zaman dahulu.
"Saya nak minta tolong sikit." Perempuan itu bersuara lembut - antara dengar dan tidak. Pun begitu, dia masih tidak menunjukkan mukanya.
Sedara tok kerutkan kening. Lenggok dan nada suara tetamu pada tengah malam itu tidak pernah dikenali. Agak mustahil kerana pada zaman itu, kebanyakan jiran tetangga saling kenal-mengenal antara satu sama lain.
"Nak tolong apa? Hang ni salah rumah kut?"
"Taklah... memang rumah nilah yang saya nak mai."
"Isy, sapa ni hah?"
"Saya nak minta tolong bancuhkan susu anak saya. Anak saya dah dua hari tak minum susu."
Berderau darah sedara tok ni. Jadah apa tengah-tengah malam, orang datang ke rumah dan minta untuk bancuh susu buat anaknya.
Perempuan itu berpaling. Pun begitu, mukanya terlindung di sebalik kain hitam yang menutup keseluruhan kepala dan mukanya. Anak yang dikendong, juga terlindung di sebalik kain hitam.
"La, pasai apa jadi lagu ni? Hang mai dari mana?"
"Saya mai dari arah sana." Perempuan yang tidak dikenali wajah dan suara itu menuding. Tangannya juga terlindung di sebalik sarung tangan berwarna hitam.
Sedara tok ni terfikir-fikir sejenak. Sesuatu terlintas di benaknya. Anak kecil yang dikendong, tidak bersuara. Jangankan merengek, bergerak pun tidak.
"Isy, kesian laa... awat la tengah-tengah malam."
"Anak saya ni, tengah-tengah malam baru dia bangkit," kata perempuan misteri itu.
"Cuba bak mai aku tengok anak hang tu. Lagu (macam) lain saja aku tengok."
Perempuan misteri itu menyingkap perlahan-lahan kain hitam yang menutup 'anaknya'. Demi tersingkap kain hitam itu, ternyata, anak yang dikatakannya hanyalah sebatang batu nisan yang terukir nama seseorang.
"Tak mau tengok muka aku sama ka?" tanya perempuan misteri itu kepada sedara tok yang terbelalak biji mata dan putih pucat kulit mukanya.
Tanpa menunggu kata-kata sedara tok, perempuan itu menyingkap kain yang menutup mukanya. Demi terpandang muka perempuan itu, sedara tok terus jatuh pengsan. Apakan tidak, di hadapannya adalah seorang perempuan yang berwajah tiga suku rosak. Kulit mukanya bergayutan. Matanya melotot dan melurut panjang sampai ke pipi. Bopeng dan kudis, mengalirkan nanah yang sangat busuk.

Cerita itu cepat tersebar. Maka pelbagailah versi 'sighting' makhluk tersebut di segenap kampung dan pekan. Akhirnya cerita tersebut menjadi pandemik di seluruh Tanah Melayu seperti juga H1N1 sekarang ini.
Aku tak ingat sangat la cerita tentang hantu stokin yang famous sesangat pada pertengahan  Kum-Kum
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
Tok bertindak pantas bagi mengelakkan 'diserang' hantu kum-kum. Tidak ada jampi serapah atau upacara memanggil saka mahupun hantu raya untuk mengawal rumah, sebaliknya tok bawa balik kayu pemunggai. Kayu pemunggai tu tok gantung kat muka pintu. Semua pintu ada benda alah tuh.

Aku terfikir juga... kalau betul hantu tu nak masuk, ikut tingkap tak boleh masuk ka? Tingkap dengan pintu, lebih kurang saja. Kecuali pintu lebih panjang, manakala tingkap pula tidak sampai ke lantai. Lubang dan luasnya lebih kurang. Berdaun berjendela juga.

Tapi time tu, aku tak berani nak menyanggah tok. Kalau dia tak jerkah aku dengan suara pitch Jacklyn Victor, tok akan godam aku dengan ranting rambutan kering yang sudah terselit di celah dinding tempat dia selalu bungkus kuih-kuihnya untuk jualan.



Nota: Hantu Kum-Kum adalah sejenis hantu semasa iaitu hantu yang muncul ikut fesyen. Hantu Kum-Kum muncul seiring dengan kemunculan Pergerakan Darul-Arqam yang mewajibkan para pengikut wanita mereka, mengenakan jilbab dan purdah. Jilbab dan purdah dianggap sebagai satu perkara baru memandangkan wanita Melayu pada masa itu hanya berkelubung batik dan berselendang, tidak bertudung seperti sekarang.

Kayu Pemunggai juga disebut sebagai pokok kelor. Ada sesetengah tempat memanggilnya sebagai pucuk manis. Ada juga yang memanggilnya sebagai pokok geti. Banyak kelebihan pokok ini selain daripada menghalau hantu kum-kum atau orang minyak. Antaranya mencairkan darah, mengurangkan paras gula di dalam darah, memperkasakan senjata sang lelaki, mahupun menghentikan pendarahan yang teruk akibat luka. Pokok ini bagaikan pokok wajib selain pokok semambu yang digunakan untuk mengubati demam campak di rumah masyarakat India Estet atau bandar atau di tepi kuil mereka.
 
 
Sumber